Monday, February 1, 2010

Dana Al-Aiman menang Anugerah Dana Ekuiti Syariah Terbaik

KENYATAAN MEDIA

Dana Al-Aiman menang Anugerah Dana Ekuiti Syariah Terbaik


Dana Al-Aiman, dana ekuiti syariah yang diuruskan oleh ASM Investment Services Berhad (ASM Investment) telah dianugerahi Dana Ekuiti Syariah Terbaik daripada Morningstar Asia, sebuah syarikat penyelidikan pelaburan berkecuali yang beroperasi di merata dunia dan beribu pejabat di Chicago, Amerika Syarikat.

Dana Al-Aiman merupakan salah satu daripada tujuh dana yang memenangi anugerah daripada tiga kategori yang dinilai dalam The Morningstar Fund Awards 2008 (Malaysia). Penilaian dana juga terhad kepada dana yang telah berada di pasaran melebihi daripada lima tahun. Sebelum ini, Dana Al-Aiman turut memenangi anugerah bagi kategori yang sama daripada Standard & Poor’s untuk Anugerah The Star/Standard & Poor’s Investment Malaysia selama tiga tahun berturut-turut iaitu bagi tahun 2005, 2006 dan 2007.

Anugerah tahunan ini dinilai dari aspek kualitatif dan kuantitatif termasuk pulangan yang mampu diberikan kepada pelabur dalam tempoh setahun. Walaubagaimana pun dana yang terpilih harus juga memberi pulangan yang baik dalam tempoh tiga dan lima tahun setelah menilai risiko pulangan pelaburan berubah.

Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif, ASM Investment berkata, “Dana Al-Aiman merupakan antara dana syariah kami paling popular di kalangan para pelabur. Ternyata anugerah ini memberi pengiktirafan bahawa dana syariah yang diuruskan oleh ASM investment mampu memberi pulangan baik kepada pelabur dalam tempoh sederhana dan jangka panjang.” Selain memberi pulangan yang baik, sebagai faedah tambahan, Dana Al-Aiman turut memberi perlindungan insurans kepada para pelabur yang melabur RM1,000 ke atas.

ASM Investment buat masa ini menguruskan 14 dana unit amanah yang dibuka kepada semua kaum serta golongan Bumiputera. Selain Dana Al-Aiman, ASM Investment turut menguruskan lima lagi dana syariah dan semua dana-dana ini dibuka kepada semua kaum selain institusi. Dana-dana syariah tersebut ialah, Dana Bestari, ASM Dana Mutiara, ASM Syariah Aggressive Fund, ASM Syariah Dividend Fund dan ASM Syariah Money Market Fund.
ASM Investment merupakan anak syarikat Amanah Saham Mara Berhad, sebuah syarikat pelopor dalam industri pengurusan saham amanah dan pengurusan dana di negara ini. Selain itu, ASM Investment adalah salah satu daripada institusi pengurusan dana yang diluluskan untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP. ASM Investment turut dilantik sebagai Penasihat Institusi Unit Amanah yang berfungsi memasarkan dana-dana unit amanah pihak ketiga.

Disediakan Oleh : Pemasaran, Promosi dan Perkhidmatan Pelanggan
Tarikh : 11 Mac 2009
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
ASM Investment Services Berhad.
No. 46 1/F, Jalan Todak 2,
Pusat Bandar Seberang Jaya,
13700 Perai,
Pulau Pinang.
Tel: 04-3909036
Fax: 04-3909041

No comments:

Post a Comment