KUALA LUMPUR 9 Dis. – ASM Investment Services Bhd. (ASM Investment) menyasarkan saiz dana unit amanah di bawah pengurusannya akan meningkat kepada RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.
ASM kini mengendalikan 14 dana amanah termasuk 10 dana korporat pihak ketiga dengan saiz dana kira-kira RM550 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff berkata, sehingga kini, dana yang paling cergas dan menjadi penyumbang utama adalah Dana Al-Aiman.
Saiz Dana Al-Aiman yang kini berjumlah RM66 juta dijangka berkembang sebanyak 50 peratus pada tahun depan, kata beliau.
Nik Mohamed Zaki berkata, bilangan pemegang unit amanah Dana Al-Aiman juga meningkat setiap tahun sejak ia mula memasuki pasaran pada tahun 1968.
Pada 1997, kata Nik Mohamed Zaki, dana berkenaan telah dipakej dengan perlindungan takaful dan dibuka penyertaannya kepada semua kaum.
“Sehingga kini, pemegang unit Dana Al-Aiman adalah seramai 20,000 manakala jumlah keseluruhan pemegang unit amanah bagi 14 buah dana adalah seramai 70,000 orang,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan pampasan perlindungan takaful kepada empat waris para pelabur di pejabat ASM Investment di ibu pejabat Amanah Saham Mara Bhd. (ASMB) di sini hari ini.
Hadir pada majlis penyerahan itu ialah Timbalan Pengerusi atau Penasihat ASMB, Datuk Kamaruddin Mohammed.
Jumlah pampasan keseluruhan yang diserahkan adalah sebanyak RM152,000.
Dari tempoh 2006 hingga 2009, ASM Investment telah menyerahkan pampasan takaful melebihi RM360,000 kepada waris-waris pelabur yang layak.
Hanya lima daripada 14 buah dana di bawah ASM Investment menyediakan perlindungan takaful dan insurans percuma kepada para pelaburnya.
Lima dana tersebut adalah dana Al-Aiman, Dana Bestari, ASM Dana Mutiara, ASM Balanced Fund dan Amanah Saham Pekerja-pekerja TNB.
Ketika ditanya mengenai pulangan atas pelaburan Dana Al-Aiman setiap tahun, Nik Mohamed Zaki berkata, pulangan pada 15 Mei 2009 yang lalu adalah sebanyak 4.84 peratus.
Manakala pada 15 Mei 2008, pulangan atas pelaburan sebanyak 9.55 peratus.
“Pada 15 Mei tahun depan, kami menyasarkan pulangan atas pelaburan mampu mencecah sekurang-kurangnya lima peratus,’’ ujarnya.
Ditanya mengenai perancangan syarikat tahun depan, Nik Mohamed Zaki berkata, syarikat berhasrat melancarkan semula dua produk baru yang tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Katanya, kedua-dua produk baru itu adalah dana ekuiti yang dijangka saiz dana berjumlah RM100 juta manakala satu lagi produk berstruktur yang mempunyai jangkaan saiz dana sebanyak RM50 juta.
Sementara itu, Kamaruddin menambah, tahun depan menyaksikan satu aliran yang positif apabila orang ramai mula menyedari kepentingan melabur dalam unit amanah terutamanya dalam ASM Investment.
Monday, February 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment